Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan rezeki
kepada kita untuk terus hidup dalam keimanan. Selawat dan salam ke atas
junjungan Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan cara terbaik kepada
umatnya dalam usaha mencari keredhaan Allah SWT.
Apa itu refleksi? Satu persoalan yang sukar dijawab oleh guru-guru
pelatih saya suatu masa dulu, malah ada juga pensyarah tidak dapat
memberikan penerangan yang jelas bagaimana membuat refleksi. Bila nak
buat refleksi? Satu lagi persoalan yang selalu ditanya oleh guru pelatih
ketika praktikum. Selalunya refleksi dibuat selepas sesuatu pengajaran
berlaku atau selepas seminggu praktikum. Adakah cara ini sesuai untuk
menghasilkan pembelajaran yang berkesan?
Ramai yang berpendapat bahawa refleksi itu ialah satu proses untuk
mengingat kembali apa yang telah berlaku,menyatakan perasaan sendiri
terhadap peristiwa tersebut, dan akhirnya memberi pendapat apa yang
perlu dilakukan. Betul juga pendapat ini, tetapi ianya terlalu spesifik
kepada perasaan yang bersifat emosi dan tidak banyak boleh dipelajari
untuk berubah jika sekiranya kita tidak berusaha mengenal diri sendiri.
Kemahiran refleksi memerlukan seseorang itu memerhati secara terperinci
apa yang berlaku sekelilingnya, dan menilai sama ada peristiwa tersebut
berlaku disebabkan oleh tindakannya, perasaannya, alam sekitar, atau ada
hubungan dengan orang lain. Seterusnya dia perlu menilai berdasarkan
satu standard nilai (agama, etika, nilai masyarakat, panduan pengajaran,
prosedur dan sebagainya)adakah sesuatu peristiwa yang berlaku itu
adalah berdasarkan nilai yang baik, atau berlaku seperti yang
sepatutnya. Dia perlu membuat analisis kenapa peristiwa itu berlaku dan
adakah dia telah memberi reaksi yang sepatutnya ke atas peristiwa
berkenaan. Setelah itu, dia perlu memikirkan bagaimana cara yang lebih
sesuai untuk memberi reaksi ke atas peristiwa berkenaan berdasarkan
nilai-nilai yang sepatutnya.
Setakat ini, refleksi yang berlaku hanya menilai peristiwa yang telah
berlaku. Seterusnya, dia perlu merancang apa yang sepatutnya dibuat pada
masa sekarang dan akan datang untuk memperbaiki keadaan, atau tindakan
pada masa depan. Apa yang hendak dilaksanakan itu mesti sesuatu yang
bertujuan untuk berubah kepada keadaan yang LEBIH BAIK. Dia juga perlu
memikirkan bagaimana nak respon sekiranya peristiwa yang sama berlaku
pada masa hadapan supaya dia dapat memberikan yang terbaik untuk menjaga
hubungannya dengan Allah, hubungan dengan orang lain, hubungan dengan
alam, dan juga untuk kebaikan diri sendiri.